Thursday, February 19, 2009

Novel Salam Maria

Judul :Salam Maria
Pengarang : Fatimah Busu
Penerbit : Absolute Press
Genre : Novel Dewasa
Mukasurat : 653 halaman
Cetakan Pertama : 2004
ISBN : 9834172117
Harga : RM 24.90

Maria Zaitun dalam Salam Maria adalah satu figur yang diambil daripada figur Maria Zaitun dalam W.S. Rendra, Nyanyia Angsa. Kedua-duanya hidup dalam masyarakat yang sakit. Namun kedua-duanya menjadi orang-orang pilihan di akhirat. Maria Zaitun disuntik dengan imej Wali Allah, Rabeah Al-Adawiyah dan Sayyidah Nafisah dan empat wantia penghulu syurga, Siti Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama Rasulullah SAW, Mariam binti Imran, bonda Nabi Isa AS, Asia, isteri Firaun dan Fatimah Az-Zahra, puteri bongsu Rasulullah SAW. ' Justeru hidup Maria Zainton hanya untuk mencari keredaan Allah SWT. Balasan di akhirat untuk Maria Zaitun dibayangkan dalam mimpi para pesakit pengsan misteri di hospital yang pengsan selama 2 tahun 2 bulan 2 minggu 2 hari. Bayangan itu ialah tentang wakaf marmar, hidangan dalam dulang emas, perak dan telaga susu di sepanjang jalan yang lurus, lebar dan sunyi untuk Maria Zaitun sebagai seorang hamba pilihan di akhirat kelak. Igauan ini membangkitkan kegilaan masyarakat untuk bertemu dengannya. Malangnya, sedang mereka kelam kabut mencarinya, Maria Zaitun sudahpun dimaqamkan oleh beberapa orang yang daif, buta, bisu dan pekak dengan pengawasan para malaikat.

Di bawah tajuk Hijrah, manuskrip ini telah disiarkan secara bersiri di dalam Majalah Horison, Jakarta, pada tahun 1982, dengan inisiatif Profesor H.B. Jasin.



Bedah Buku ;


Impak maksima kepada diri saya sebagai pembaca buku ni, saya dapat belajar kreativiti Fatimah Busu dalam penulisan. Cara beliau menggarapkan watak dan jalan cerita.

Mesej yang cuba di sampaikan dalam novel ini , memaparkan realiti masyarakat hari ini.
Tidak di nafikan juga, novel ni penuh dengan unsur - unsur islamisasi dalam kehidupan seorang muslim.

Watak utama Maria Zaitun di dalam novel ini, memberikan lagi daya penarik kepada saya kerana menceritakan watak seorang wanita yang sangat sukar dan mungkin susah untuk di temui hari ini. Bagaiamana Maria Zaitun mengabdikan diri kepada Allah dan menjalankan tanggungjawabnya berda'wah. Menginfakkan diri dan harta di jalan Allah. Sanggup melupakan dunia dan berpegang teguh kepada tali Allah dalam kehidupannya.

Membaca sahaja buku ini, mengingatkan saya kepada suasana di Pos orang asli Kuala Mu. Lebih kurang begitulah yang dapat saya imaginasikan dalam fikiran . Tinggal di dalam hutan. Berumah tanggakan batang - batang buluh.

Orang - orang di Kuala Mu juga memerlukan jiwa seorang manusia seperti Maria Zaitun . Yang sanggup tinggal di Hutan Beringin, untuk mendidik penghuni di situ mengenal Allah dan islam. Kuala Mu juga amat memerlukan cahaya ilahi. Golongan minoriti orang asli di situ belum lagi mengenal Allah dan islam . Dakwah yang di jalankan oleh beberapa NGO Islam di sana, memerlukan nafas panjang untuk melihat segala usaha dan da'wah ini membuahkan hasil.

Namun untuk mencari Maria Zaitun di abad ini, adalah sesuatu yang sukar dan mungkin hanya wujud di dalam novel Salam Maria sahaja. Tapi siapa tahu, dengan membaca novel ini ia mampu mengetuk minda dan membina karektor Maria Zaitun yang lebih hebat untuk merealisasikan mesej yang di sampaikan di dalam novel ini.

Jangan ketinggalan, untuk memiliki dan memahami msej yang cuba di sampaikan oleh Fatimah Busu di dalam Novel Salam Maria. Selamat membaca ....

Abstract

Novel Salam Maria memaparkan watak Maria Zaitun wanita mukmin yang mementingkan kerohanian dan juga keduniaan seadanya sahaja. Maria Zaitun telah menggunakan seluruh kehidupannya membantu wanita lain yang bernasib malang. Wanita yang mempunyai pelbagai masalah dan dihimpit penderitaan bangun dalam dunia Maria Zaitun sebagai manusia yang dapat memainkan peranan dalam pembangunan ummah. Bagi Maria Zaitun kehidupan di dunia merupakan tapak dia mendapat syurga di akhirat. Itulah kejayaan yang sebenar yang seharusnya dicapai oleh setiap manusia yang bergelar muslim dan mukmin. Fatimah Busu dalam novel tersebut mengkritik masyarakat Melayu Islam, kezaliman yang berlaku dalam masyarakat, dan memberi hak orang kurang upaya, mangsa sumbang mahram untuk terus menjalani kehidupan. Salam Maria merupakan satu peranan yang dapat dimainkan oleh pengarangnya untuk menyampaikan mesej “Nur Keislaman”. Manusia sudah jauh daripada kehidupan yang sempurna, dan diharapkan melalui pembacaan, pengkajian dan penghuraian yang dibuat daripada novel ini menyedarkan masyarakat tentang kepentingan hidup yang berlandaskan keislaman bagi menjadi masyarakat yang berjaya. Media juga seharusnya dapat memainkan peranan sebaik mungkin dalam memulihkan masalah kejatuhan moral yang parah dalam masyarakat kini. Tanpa pedoman dan dorongan serta contoh yang baik wanita kurang mengetahui arah tujuan sebenar kehidupan, oleh itu dengan adanya novel seperti ini menjadikan pembaca berfikir dan membolehkan pembaca menilai dan mengikuti cara yang baik melalui watak Maria Zaitun untuk meneruskan kehidupan dalam dunia globalisasi ini.